KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa komited membantu usahawan-usahawan francais tempatan bagi memastikan jenama tempatan seperti Robert T 1994, terus berkembang pesat di pasaran Borneo.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) agensi di bawah kementerian menyalurkan pembiayaan RM500,000 kepada Robert T 1994 untuk menambah tiga lagi cawangan milikan korporat baharu di Suria Sabah, Bandar Baru Keningau dan Tawau.
Beliau berkata, walaupun jenama Robert T 1994 mula bertapak pada 2020 namun ia telah berkembang pesat dengan pembukaan cawangan di Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Keningau, Kota Belud dan banyak lagi.
Katanya lagi, Robert.T 1994 merupakan contoh terbaik jenama homegrown Sabah yang kini memiliki 35 cawangan termasuk di Indonesia dan Brunei Darussalam.
“Ini membuktikan kemampuan jenama tempatan untuk bersaing di peringkat serantau dan menjadi salah satu jenama home grown kebanggan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Cabutan Bertuah Robert.T 1994, di Suria Sabah Shopping Mall, di sini, hari ini.
Ewon turut memuji usaha PERNAS kerana sentiasa mencari dan membangunkan usahawan-usahawan dan perniagaan baharu dalam sektor francais.
“Saya berharap melalui sokongan PERNAS, jenama-jenama tempatan termasuk Robert.T 1994 terus berkembang sekaligus memacu pertumbuhan sektor francais tempatan di Sabah dan pasaran serantau,” katanya.
Katanya lagi, sejak tahun 2014, PERNAS telah menyalurkan RM461 juta pembiayaan kepada 2,283 usahawan francais di seluruh negara, termasuk RM12.4 juta kepada 68 usahawan di Sabah.
“Bagi tahun 2025, sebanyak RM6 juta diperuntukkan khas untuk pembiayaan Skim Young Entrepreneurship Engagement Talent Programme (YOUNITY) dan Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent Programme (SWEET) dan sebanyak RM3.5 juta untuk program I-VIP.
“Manakala RM29 juta disediakan khusus untuk pembiayaan francais dan pra-francais,” katanya.
Ewon berkata, industri francais semakin berkembang pesat dan ini petanda positif untuk terus merangsang ekonomi domestik.
“Sehingga kini, sebanyak 3,565 usahawan francais yang terdiri daripada francaisor dan francaisi didaftarkan di bawah sistem Malaysia Franchise Express 2.0 (MyFEX 2.0).
“Di Sabah, terdapat pelbagai jenama francais tempatan seperti Sinar Suria, Nuvis, Fook Yuen Mok dan Happy Potato telah menyumbang kepada ekonomi negeri,” katanya dan menambah PERNAS giat meningkatkan jenama-jenama francais tempatan melalui kerjasama kementerian dan agensi-agensi di negeri ini.
Beliau berkata, pada tahun lalu, Program Pemerkasaan Usahawan Sabah (PUSH) yang dijalankan bersama Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MIDE) telah membantu 40 usahawan tempatan bagi mentransformasikan perniagaan mereka ke arah francais.
Ewon berharap, lebih banyak perniagaan francais akan dibuka di Sabah dan seluruh Malaysia.
“KUSKOP komited memastikan kejayaan usahawan-usahawan dalam semangat Malaysia Madani bagi memacu pembangunan ekonomi negara ke tahap yang lebih cemerlang dan memastikan ekosistem perniagaan negara terus kekal kompetitif dan lestari,” katanya.
Majlis ini turut dihadiri Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PERNAS, Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah, Pengarah Eksekutif Robert.T 1994, Dr. Robert Tang dan Pengarah Urusan Robert.T 1994, Puan Hwang Chyi Chyi.