Advertisement

Dua Wanita Asing Berjaya Ditahan Bersama Dadah Bernilai RM3,200 Dipercayai Pengedar Di Penampang – Sabah News

PENAMPANG: Polis daerah ini berjaya merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM3,200 dengan penahanan dua wanita warga asing berusia 20-an dalam satu serbuan pada 10.30 malam Jumaat lalu.

Ketua Polis Penampang Supt Sammy Newton berkata, lima paket disyaki mengandungi serbuk ekstasi (166.77 gram), satu paket plastik disyaki mengandungi pil ekstasi (3.07 gram) dan satu paket plastik disyaki mengandungi ketamin (1.46 gram) dirampas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah.

“Kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis ketamin setelah ujian saringan awal air kencing dibuat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup (30 tahun) dan hendaklah, jika tidak dihukum mati, disebat tidak kurang 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Sammy berkata kes juga disiasat di bawah Seksyen 12 (2) dan 15 (1)(a) akta yang sama manakala suspek kini ditahan reman.

“Pihak polis memperingatkan kepada masyarakat agar tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan terus menjadi mata serta telinga polis dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras gejala dadah,” katanya.