Advertisement

Lelaki 11 Tahun Bernasib Baik Sempat Diselamatkan Ketika Lemas Di Putatan – Sabah News

PUTATAN: Seorang kanak-kanak lelaki 11 tahun bernasib baik sempat diselamatkan dewasa yang berhampiran ketika sedang lemas di Pantai Gorongon, sini, pada petang Isnin.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Putatan, PPgB Noorsherriyana Bohar, mangsa yang dikenali sebagai Azarif keluar bermandi-manda bersama enam orang rakannya dalam insiden itu.

“Mangsa terbawa arus ombak ke kawasan dalam. Rakan mangsa cuba membantu menarik tangan mangsa tetapi gagal.

“Rakan mangsa seterusnya meminta bantuan orang awam di kawasan berhampiran iaitu empat orang lelaki dewasa yang bergegas berenang ke arah mangsa yang telah dihanyutkan arus ombak sejauh 50 meter dari tempat kejadian.

“Mangsa sempat berpaut pada gelen semasa sedang hanyut sebelum diselamatkan dan seterusnya dibawa ke pesisir pantai,” katanya ketika dihubungi.

Seramai 12 anggota dan pegawai tiba ke lokasi dalam 9 minit selepas menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada 5.13 petang.

Pasukan Bomba hanya melakukan pemantauan di lokasi dan kes seterusnya diserahkan kepada pihak polis yang mana dua anggota turut dilaporkan berada di lokasi ketika itu.