KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah tidak akan melaksanakan hukum sebat di khalayak ramai seperti yang dilaksanakan di negeri Terengganu baru-baru ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Agama Sabah, Datuk Dr Mohd.Arifin Mohd Arif berkata, Sabah merupakan negeri yang unik, terdiri daripada berbilang kaum dan agama, serta keharmonian agama, toleransi dan persefahaman yang menjadi teras rakyat hidup secara aman dan harmoni.
Beliau merujuk kepada kenyataan Mufti Negeri Sabah, SS Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Bin Haji Jaafar di akhbar tempatan pada 3 Januari 2025, yang bertajuk “Mufti Sabah sokong hukum sebat di khalayak ramai”.
Antara lain, Bungsu dipetik turut menyokong pelaksanaan hukuman itu kerana ia mengikut syariat Islam.
“Kerajaan Negeri ingin memaklumkan bahawa kenyataan Ustaz Haji Bungsu merupakan pendapat dan pandangan peribadi beliau dan sama sekali tidak mewakili pendirian Kerajaan Negeri.
“Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri menerusi pihak berkuasa agama akan kekal dengan hukuman yang sedia ada terhadap kesalahan Takzir.
“Takzir merupakan hukuman yang dijatuhkan atas kesalahan yang tidak dinyatakan bentuknya oleh syarak.
“Kerajaan Negeri Sabah juga berharap isu itu tidak terus dipolitikkan atau menjadi bahan perdebatan oleh mana-mana pihak, sehingga menimbulkan suasana yang kurang harmoni,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Mohd Arifin yang juga Exco Pendidikan menyatakan Sabah berpegang pada prinsip Fiqh Sabahi yang juga diperkenalkan oleh SS Mufti Sabah.
Jelasnya fiqh itu membawa kebijaksanaan dan hikmah dalam pergaulan, menjalin hubungan dan bermasyarakat dan menjalankan nilai dakwah dan syiar Islamiah berdasarkan kehidupan pelbagai kaum dan agama di Sabah.
Tambahnya lagi Kerajaan Negeri berharap isu ini tidak terus dipolitikkan atau menjadi bahan perdebatan oleh mana-mana pihak, sehingga menimbulkan suasana yang kurang harmoni.