Advertisement

CADANGAN SAMAN RM5 JUTA KE ATAS PENGANJUR DAN PESERTA HIMPUNAN GEMPUR RASUAH SABAH – Sabah News

KOTA KINABALU: Sekretariat Himpunan Sabahan Bangkit melalui beberapa kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) telah mengarahkan sekumpulan peguam untuk meneliti dan mengumpul maklumat bagi tujuan tindakan saman siviil bernilai RM5 juta ke atas kumpulan dan peserta Perhimpunan Aman Gempur Rasuah pada ambang tahun baru lalu.

Kumpulan peguam yang telah dilantik dibawah pemantauan Sekretariat Sabahan Bangkit juga sedang mengenal pasti maklumat individu yang terlibat untuk memudahkan penghantaran Notis Tuntutan atau Letter of Demand (LOD) dan tindakan saman juga akan membabitkan Fahmi Reza.

“Bukti tuduhan fitnah jahat dan jelik yang diucapkan atau dilaungkan ke atas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Tuan Yang Terutama di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan Kerajaan GRS-PH Sabah semasa ceramah demo tersebut juga sedang disiasat.

“Selepas dikenal pasti, Sekretariat Sabahan Bangkit juga akan memfailkan saman melalui mahkamah anak negeri di seluruh Sabah dan berharap tindakan ini dapat menyedarkan pelajar dan peserta demo bahawa tindakan mereka dengan cara memfitnah adalah salah dan berniat jahat.

“Sekretariat turut menjangkakan kumpulan kecil mahasiswa ini akan dibantu malahan kemungkinan diwakili oleh peguam dari parti Warisan dan berharap agar rakyat Sabah membuka mata serta dapat menilai agenda sebenar kumpulan ini,” kata mereka dalam sebuah kenyataan hari ini.

Sekretariat Gerakan Bangkit Sabahan yang dianggotai oleh hampir seratus NGO daripada seluruh Sabah turut berharap agar pengerusi dan seluruh ahli jawatankuasa yang menggelar diri mereka Suara Mahasiswa UMS meletak jawatan susulan kegagalan menganjurkan perhimpunan aman gempur rasuah tersebut.

Katanya, walaupun dibantu oleh parti politik pembangkang di Sabah termasuk beberapa NGO dari semenanjung Malaysia sasaran 10 ribu kehadiran pada perhimpunan tersebut gagal dicapai.

“Sebaliknya kehadiran seramai 80 orang adalah petunjuk jelas pelajar UMS (Universiti Malaysia Sabah) termasuk orang awam telah menolak perhimpunan ini secara total.

“Perhimpunan Aman Bangkit Sabahan pada hari yang sama pula telah mencatatkan kehadiran 1500 orang sekaligus menunjukkan rakyat Sabah termasuk mahasiswa telah memilih untuk terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Hajiji dan mahu mengekalkan kerajaan sedia ada.

“Justeru untuk menjaga maruah jalan terbaik bagi seluruh ajk kumpulan ini adalah meletak jawatan,” tegasnya.