Advertisement

Kemenangan Najib Buktikan PM Tidak Campurtangan Kes Mahkamah – Razeef – Sabah News

KUALA LUMPUR: Di sebalik fitnah dan tohmahan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu titah adendum bagi meringankan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada tahanan rumah, Anwar membuktikan bahawa beliau tidak menyalah gunakan kuasa untuk mencampuri urusan mahkamah bagi membalas dendam terhadap bekas seteru politik, kata Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin.

“Semalam kita dapat lihat keputusan Mahkamah membenarkan rayuan semakan kehakiman kepada Najib Razak berkait Titah Adendum yang memberikan beliau tahanan rumah.

“Walaupun PAS dilihat menunggang isu ini, namun semua tahu ketika PAS berada dalam kerajaan persekutuan Najib Razak telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak Rm210 juta.

“Hanya ketika Anwar menjadi Perdana Menteri hukuman terhadap Najib Razak dikurangkan iaitu kepada enam (6) tahun penjara dan denda sebanyak Rm50 juta. Ini juga bukti bahawa Perdana Menteri tidak mencampuri urusan Mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Jelas Razeef, seperti kes-kes lain melibatkan pemimpin politik, di bawah kerajaan Madani tidak akan membenarkan campurtangan sama ada mendesak atau menghalang siasatan termasuk beberapa kes melibatkan pimpinan utama dalam kerajaan persekutuan dan negeri yang masih berjalan.

“Ini adalah reformasi yang dibawa oleh kerajaan perpaduan. Kita tidak mahu pendakwaan yang dilakukan secara gopoh akibat dendam politik mengakibatkan kecacatan pada pendakwaan yang akan mengakibatkan perasuah terlepas,” jelasnya.