KUALA LUMPUR: Sentiasa menghormati dan menghargai bakat emas yang dimiliki bintang atau penyanyi legenda, MUSE+ buat pertama kali mempersembahKan sebuah konsert dengan konsep unik yang membabitkan para otai yang disifatkan ‘sangat menyengat’.
Dinamakan sebagai KONSERT HITSTER VOL 1 – OTAI SANGAT MENYENGAT, konsert ini empat nama besar yang menggabungkan tiga vokalis terunggul dari Malaysia bersama vokalis evergreen dari Singapura.
Mereka adalah Dato’ Nash, Zamani, Ameng Spring dan Jatt Ali yang buat pertama kali akan bergabung di atas satu panggung pada 1 Februari 2025 di THE STAR THEATRE, SINGAPORE bermula pukul 8 malam.
Nama-nama besar ini pada suatu ketika dan ada sehingga kini telah menyemarakkan industri muzik apabila menjadi frontman kugiran popular seperti Lefthanded (Nash), Black Dog Bone (Jatt Ali), Spring (Ameng) dan Zamani Slam.
“MUSE+ dengan penuh teruja dan bangga membuka tahun 2025 menerusi KONSERT HITSTER VOL 1 – OTAI SANGAT MENYENGAT yang julung kali diadakan untuk memberi pengalaman istimewa kepada penonton dengan membangkitkan nostalgia serta bagaimana muzik mampu menyatukan hati dan jiwa semua generasi.
“Signifikan dengan konsep yang dibawakan iaitu Hitster dan Otai Sangat Menyengat maka Dato’ Nash, Zamani, Ameng Spring dan Jatt Ali adalah vokalis paling layak mengisi konsert edisi perdana ini.
“Pemilihan Dato’ Nash, Zamani, Ameng Spring dan Jatt Ali dalam KONSERT HITSTER VOL 1 – OTAI SANGAT MENYENGAT yang dijadual berlangsung pada 1 Februari 2025 di THE STAR THEATRE adalah berdasarkan jenama dan karya-karya hit yang telah dinyanyikan lalu menjadi pujaan peminat meski zaman berubah.
“Tanyalah siapa yang tidak pernah mendengar lagu Pada Syurga Di Wajahmu (Nash), Tak Mungkin Berpaling (Zamani), Sampai Hati (Ameng Spring) atau Khayalan (Jatt Ali Black Dog Bone), kami di MUSE+ percaya peminat muzik pasti pernah mendengar atau mungkin sangat meminati lagu-lagu ini.
“Atas faktor itu kami realisasikan projek yang sudah lama dirancang namun baru sekarang boleh dilaksanakan ini. Terimalah empat figura yang telah menyemarakkan seni muzik dengan ciri unik mereka dan kekal menjadi otai yang sangat menyengat iaitu Nash, Zamani, Ameng dan Jatt Ali,” ujar Atrez, Pengarah Urusan MUSE+.
Sementara itu Zamani menyifatkan pembabitan dalam KONSERT HITSTER VOL 1 – OTAI SANGAT MENYENGAT sebagai sebuah penghormatan apa lagi pertama kali berkongsi pentas bersama bersama Nash, Ameng dan Jatt Ali di THE STAR THEATRE SINGAPORE.
“Syabas buat penganjur kerana membawa sebuah konsep konsert yang cukup unik apabila menggabungkan empat vokalis dengan ciri khas masing-masing di atas satu pentas.
“Saya sendiri teruja kerana menjadi salah seorang vokalis yang membuka edisi pertama konsert ini. Nantikan persembahan istimewa saya, Nash, Ameng dan Jatt Ali pada 1 Februari 2025,” ujar Nash.
Bagi peminat yang tidak sabar menikmati persembahan Nash, Zamani, Jatt Ali dan Ameng Spring, jangan lupa dapatkan tiket bermula kategori $98 (GOLD), $128 (PLATINUM), $148 (DIAMOND), $248 (VIP & MEET & GREET) menerusi pembelian di WWW.STARTIX.SG.
“KONSERT HITSTER VOL 1 – OTAI SANGAT MENYENGAT akan menjadi pembuka kepada siri-siri konsert dengan konsep seumpamanya pada masa hadapan.
“Mungkin selepas mengetengahkan empat vokalis lelaki, MUSE+ akan membawa barisan penyanyi legenda wanita.
“Apa yang penting walaupun agak sukar ‘mencuri masa’ para otai kita kerana mereka cukup sibuk, namun penantian dan usaha menjayakan KONSERT HITSTER VOL 1 – OTAI SANGAT MENYENGAT ini sangat berbaloi,” kata Atrez lagi.