Advertisement

Ibu Bapa Disaran Terus Sokong Anak-Anak Teroka Bidang STEM Sejak Peringkat Awal Khusus Tadika – Sabah News

BEAUFORT: Para ibu bapa disaran untuk terus menyokong anak-anak bagi meneroka bidang Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bermula sejak diperingkat awal khususnya sekolah tadika.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ruslan Muharam berkata ia termasuklah membaca, bertanyakan soalan dan mencuba sesuatu yang baru berkaitan bidang STEM.

“Prasekolah ialah asas pembentukan keperibadian anak-anak. Di sinilah mereka mula mengenal dunia pembelajaran, membina sahsiah diri, dan mengasah bakat serta kreativiti.

“Justeru saya menyeru ibu bapa agar menyokong anak-anak untuk menerokai bidang STEM seawal mungkin. Berikan galakan kepada mereka untuk membaca, bertanya soalan, dan mencuba eksperimen yang berkaitan dengan sains,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Apresiasi Prasekolah Zon Weston sesi 2024/2025 di Dewan Pekan Weston di sini baru-baru ini.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan turut berharap agar ibu bapa tidak menghadkan potensi mereka yang mengatakan bidang sains itu sukar.

“Sebaliknya, jadilah penyokong yang memahami bahawa ilmu sains membantu membentuk pemikiran kritis dan inovatif.

“Peranan guru-guru dalam membimbing dan mendidik anak-anak ini amatlah besar, malah jasa mereka tidak ternilai.

“Kejayaan anak-anak pada hari ini ialah bukti usaha gigih semua pihak, terutamanya guru dan ibu bapa yang sentiasa menyokong perkembangan mereka,” katanya.

Menurutnya lagi beliau turut mendukung dan menyokong anak-anak khususnya di Dun Lumadan untuk terus menceburi aliran sains kerana ia mempunyai peluang yang cerah.

Pada majlis itu seramai 82 murid Prasekolah telah diraikan.