PUTRAJAYA: Analisis kerajaan menunjukkan lebih 30 peratus pekerjaan di Malaysia akan terjejas oleh kecerdasan buatan (AI) dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Sektor utama terlibat adalah pembuatan, perkhidmatan dan teknologi maklumat yang dijangka mengalami transformasi ketara.
Memetik laporan Bernama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata statistik itu mendedahkan bahawa lebih 600,000 pekerja mesti menjalani latihan kemahiran semula dalam tempoh tiga hingga lima tahun untuk kekal relevan dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.
“Tambahan pula, menjelang 2030 negara diunjurkan memerlukan tambahan 500,000 pekerja mahir bagi memenuhi permintaan sektor teknologi dan teknikal.
“Angka-angka ini menyerlahkan keperluan mendesak untuk membangunkan ekosistem latihan dan pensijilan yang berkesan,” katanya pada pelancaran Pensijilan Pembangunan Profesional Lembaga Juruteknologi Malaysia (MBOT) pada Selasa.
Chang berkata tenaga kerja Malaysia mesti bersedia untuk menghadapi perubahan ini kerana proses kemahiran semula dan peningkatan kemahiran menjadi penting, terutamanya dalam bidang teknologi dan teknikal, supaya Malaysia boleh kekal berdaya saing di peringkat global dan memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat.
“Justeru, kerajaan giat memastikan kursus dan latihan yang ditawarkan adalah sejajar dengan piawaian antarabangsa dan keperluan Industri 4.0. Ini termasuk kursus dalam keselamatan siber, pengurusan sistem pintar, dan analisis data,” katanya.