KOTA KINABALU: Gerakan Bangkit Sabahan (GBS) tidak akan teragak-agak untuk mengadakan perhimpunan balas menentang penunjuk perasaan anti rasuah yang dikatakan terdiri daripada Mahasiswa UMS yang menyokong pembangkang.
Ketua Penasihat GBS, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, mereka terdiri daripada lebih 100 NGO yang dengan mudah dapat mengatasi penunjuk perasaan terbabit 20 hingga 30 kali ganda jika diberikan kebenaran polis.
“Himpunan Aman GBS 2.0 akan dihadiri 100 peratus pemuda dan pemudi tempatan yang turut diketuai pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Kami sanggup menyertai Suara Mahasiswa UMS dalam perhimpunan aman ini dengan syarat mereka turut melibatkan pemimpin Parti Warisan, KDM dan UMNO iaitu Shafie Apdal, Peter Anthony dan Bung Moktar dalam menuntut mereka berundur seperti yang dicadangkan.
“GBS juga menolak rasuah dan cadangan perhimpunan 2.0 adalah semata-mata untuk menyedarkan pelajar UMS agar mereka tidak melakukan fitnah jahat terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata GBS hairan mengapa hanya dua tokoh ini yang didesak untuk meletakkan jawatan sedangkan mengikut rekod dan pengetahuan umum, kedua-duanya tidak pernah disabitkan dengan sebarang jenayah oleh mana-mana mahkamah di Malaysia.
“Kita juga mempersoalkan mengapa pemimpin seperti Shafie Apdal yang ditahan reman kerana kes rasuah projek luar bandar bernilai 1.5 bilion, Peter Anthony kerana memalsukan dokumen projek UMS dan Bung Moktar untuk kes rasuah bernilai 2.8 juta tidak disenaraikan dalam tuntutan mereka.
“Atas sebab itu, kami percaya pelajar dan alumni UMS ini sebenarnya digunakan oleh pihak tertentu untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan GRS-PH di Sabah,” tegasnya.