Advertisement

Lelaki Maut Tersepit, Van Dipandu Bertembung Vigo Di Jalan Semporna – Tawau Awal Pagi Tadi  – Sabah News

Foto: Ihsan JBPM Sabah

SEMPORNA: Seorang lelaki dilaporkan maut akibat tersepit selepas van jenis Nissan Urvan dipandunya bertembung dengan Toyota Vigo dalam kejadian kemalangan di Jalan Kalumpang Kilometer 51 Jalan Semporna Tawau awal pagi tadi.

Lelaki berusia lingkungan 40-an itu dilaporkan tersepit dan telah dikeluarkan oleh pasukan Bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan, manakala, pemandu Toyota Vigo pula yang juga lelaki berusia 38 tahun dilaporkan mengalami cedera parah. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.32 pagi.

Katanya, seramai tujuh anggota Bomba dari BBP Semporna bersama empat anggota PDRM dan tiga anggota KKM telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 51 kilometer dan tiba pada jam 8.07 pagi.

“Lapor kemalangan melibatkan dua buah kenderaan jenis van Nissan Urvan bertembung Toyota Vigo dan terdapat dua orang mangsa lelaki tersepit di van dan kereta Vigo yang merupakan pemandu kenderaan tersebut.

“Pasukan Bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan Road Traffic Accident (RTA).

“Mangsa yang tersepit di van Nissan meninggal dunia setelah disahkan oleh pihak Ambulans KKM dan mangsa diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.

“Manakala mangsa yang tersepit di kereta Toyota Vigo mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke Hospital Semporna dengan menggunakan kenderaan Ambulans KKM,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Operasi seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.50 pagi.