Advertisement

Maritim Tawau Tahan Bot Kargo Cuba Seludup Keluar 1,190 Kilo Lobak Merah – Sabah News

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot kargo tempatan yang membawa muatan 170 kotak lobak merah dianggarkan sekitar 1,190 kilogram bernilai RM3,400 tanpa pengisytiharaan pada pukul 11.10 pagi Selasa.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan rutin OP PLUTO TIMUR dan OP TIRIS telah berjaya menahan sebuah bot kargo yang bergerak laju keluar dari perairan Batu 3,Tawau menuju ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia.

“Pemeriksaan ke atas bot yang ditahan di kedudukan 0.8 batu nautika utara Sungai Melayu tersebut mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun bertindak selaku juragan bot.

“Pemeriksaan dokumentasi seterusnya mendapati juragan telah gagal mengemukakan dokumen pengisytiharaan kastam berkaitan barangan yang dibawa dan tiada daftar nama di dalam lesen bot.

“Juragan, bot serta muatan tersebut seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah(JPDS) 2002,” katanya dalam sebuah kenyataan semalam.

Katanya, kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM46 ribu.

Shahrizan berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan berlakunya cubaan penyeludupan barangan tersebut ke negara jiran bagi pasaran luar.

“Siasatan juga akan dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi yang digunakan oleh pengusaha barangan runcit bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Penguatkuasaaan akan terus diperkasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau,” tegasnya.

Beliau berkata Maritim Malaysia memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan dan aset-aset ronda akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi.