KOTA KINABALU: Pelaksanaan pendigitalan e-Invois dan e-Pembayaran bagi meningkatkan kecekapan pengurusan di kondominium, apartmen dan flat merupakan langkah ke hadapan yang signifikan, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada organisasi dan korporat seperti Taylor Hobbs, Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Tinggi Kota Kinabalu (KKHS), Perbadanan Pengurusan Taman Bakti Ikhlas, dan Perbadanan Pengurusan Beverly Hills Plaza ‘B’ yang menjadi rakan niaga baharu dan rakan niaga yang sudah bersama dengan GoNet.
“Kerjasama ini adalah satu contoh terbaik bagaimana sektor swasta boleh berganding bahu untuk membawa perubahan positif. Saya harap lebih banyak pihak akan terlibat dalam pelaksanaan pendigitalan seperti ini,” katanya pada Selasa.
Dr. Joachim juga memuji GoNet, sebuah syarikat tempatan Sabah yang telah beroperasi lebih tiga tahun dan mempunyai lesen e-Dompet yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia.
“Dengan pengalaman GoNet, saya yakin aplikasi ini akan terus menawarkan pelbagai kemudahan digital di hujung jari pengguna pada masa hadapan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata demikian semasa menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman dan Perjanjian Perkhidmatan dengan rakan kongsi baharu serta merasmikan pelancaran sistem e-Invois melalui aplikasi GoNet pada Selasa.
Dr. Joachim turut menjelaskan bahawa bermula 1 Julai 2025, Kerajaan akan melaksanakan sepenuhnya penggunaan e-Invois bagi menggantikan dokumen kertas dan elektronik seperti format PDF, JPEG dan DOC. Inisiatif ini akan diterapkan dalam semua transaksi antara penjual dan pembeli, termasuk pengurusan harta.
“Pelaksanaan e-Invois akan meningkatkan kecekapan dan melancarkan operasi perniagaan pembayar cukai, selain meningkatkan tahap pematuhan cukai,” katanya.
Beliau turut menyenaraikan beberapa manfaat utama e-invois, iaitu mengurangkan proses manual dan kesilapan; mempermudah pengemukaan borang nyata; meningkatkan kecekapan operasi; dan mendigitalkan pelaporan percukaian dan kewangan.
“Teknologi moden ini adalah langkah permulaan kepada perubahan besar untuk negeri kita. Rakyat akan menikmati perkhidmatan yang lebih cekap, serta penjimatan masa dan kos,” ujar beliau.
Dr. Joachim juga yakin bahawa inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi pada masa depan, membuktikan bahawa Sabah mampu bersaing dengan negeri-negeri lain dalam era globalisasi.
“Saya percaya kerjasama semua pihak akan membawa manfaat besar kepada kita semua, membina masa depan yang lebih pintar, lestari dan inovatif,” katanya.
Turut hadir, Pengasas merangkap Pengarah Urusan dan Pengarah GoNet Group, Dr James Yong Chau Leong; Pengarah GoNet Group Datin Evelyn Anak John Ganjos; Perunding Utama Taylor Hobbs, Sr. Liaw Lam Thye; Pengerusi Lembaga Sekolah Tinggi Kota Kinabalu (KKHS), Ben Lim Kiat Kong; Pengerusi Perbadanan Pengurusan Taman Bakti Ikhlas, Mr. Jessel Kamijan @ Jessel Aloysius; Perbadanan Pengurusan Presiden Beverly Hills Plaza ‘B’, Alice Chok Ming Fung.