KOTA KINABALU: Pihak polis dilaporkan telah merampas enam pistol tiruan dalam serbuan ke atas sebuah premis di Kolombong, sini, pada Selasa.
Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah menahan dua individu termasuk pemilik premis berkenaan dalam serbuan jam 2 petang itu.
Ketua JSJ Kontinjen Sabah, Datuk Azmi Abd Rahim berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya membuat pemeriksaan dan mendapati premis berkenaan menjual pelbagai jenis senjata api tiruan.
“Antara senjata api tiruan yang dirampas ialah empat unit pistol semi-auto jenama Glock, satu pistol semi-auto jenama P Beretta dan sepucuk pistol semi-auto jenama Glock Austria.
“Pasukan serbuan turut merampas 10 botol berisi peluru plastik, empat paket berisi peluru plastik dan satu unit sasaran,” katanya dipetik.