Advertisement

Sesi Town Hall Inklusif Bincang Bajet RM965,000 Untuk Wanita Sabah – Sabah News

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Inisiatif Kepimpinan Wanita (WLIC), dengan kerjasama Institut Kajian Pembangunan Sabah akan menganjurkan Sesi Town hall Bajet Wanita Negeri Sabah 2025: Memperkasa dan Memartabat Wanita Melalui Keterangkuman dan Inklusiviti.

Program berlangsung pada hari Sabtu (11 Januari) akan bertempat di Hotel Pan Borneo, Kota Kinabalu hasil kerjasama antara IDS dan WLIC yang merupakan kesinambungan program sebelumnya bertujuan untuk memperkukuh agenda pembangunan wanita di Sabah, khususnya dalam memberi tumpuan kepada peruntukan khas dan peluang ekonomi yang telah dibentangkan dalam Bajet Negeri Sabah 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr. Ramzah Dambul menyatakan bahawa pembentangan Bajet 2025 di peringkat Persekutuan telah membawa harapan baharu kepada golongan wanita dengan menyediakan peruntukan khas untuk memperkukuh agenda pemerkasaan wanita.

“Inisiatif seperti pemerkasaan profesionalisme wanita, program perintisan kepimpinan wanita (PERANTIS), serta program kebajikan wanita mencerminkan komitmen kerajaan ke arah mensejahterakan rakyat,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Selain itu, beliau berkata usaha meningkatkan kefahaman tentang Belanjawan Responsif Gender (GRB) turut dipergiatkan untuk memastikan peruntukan belanjawan yang lebih inklusif di peringkat kementerian dan agensi.

Di peringkat negeri Sabah, Bajet 2025 turut memperuntukkan dana khas sebanyak RM965 ribu di bawah kategori Kesejahteraan dan Kebajikan Rakyat untuk program kesejahteraan wanita. Dana ini akan disalurkan melalui agensi seperti Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Yayasan Usaha Maju (YUM), dan Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) untuk melaksanakan program pembangunan wanita yang memberi impak langsung kepada komuniti.

“Sesi Town hall ini bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat, khususnya wanita di negeri Sabah, tentang peluang yang tersedia melalui peruntukan ini. Ia juga menyediakan platform untuk perbincangan, pertukaran pendapat, dan cadangan ke arah pelaksanaan program pemerkasaan wanita yang lebih inklusif dan efektif,” tambah beliau.

Beliau berharap program ini menjadi langkah penting dalam memperkukuh kedudukan wanita di Sabah, membuka peluang ekonomi, dan menyokong keusahawanan sebagai pemacu pembangunan negeri.