Advertisement

Focal Person KPM, Mohd Arif Antara Penerima Anugerah Khas Sukan, Ko-Kurikulum SK Tanjung Aru II

KOTA KINABALU: Focal Person Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Mohd Arif Tun Sakaran antara 31 individu, guru dan agensi menerima Anugerah Khas Sukan dan Ko Kurikulum sempena Majlis Apresiasi Sukan dan KoKurikulum Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru II, di sini.

Beliau menerima anugerah itu atas pembabitannya selaku ibu bapa, komuniti dan swasta dalam menyumbang kepada pembangunan sukan dan kokurikulum sekolah di negeri ini, khususnya di SK Tanjung Aru II.

Anugerah disampaikan Guru Besar SK Tanjung Aru II, Siti Noorsiah Pg Abdullah, manakala majlis berkenaan dirasmikan Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Sabah, Datu Asrah Datu Ambas selaku wakil Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Sabah, Muddin Beting.

Selain Mohd Arif, turut menerima anugerah khas ialah beberapa pegawai pendidikan dari Jabatan Pendidikan Sabah, kelab sukan dan ko kurikulum, guru SK Tanjung Aru II dan beberapa sekolah rendah sekitar Kota Kinabalu serta individu perseorangan.

Anugerah turut diberikan kepada beberapa agensi yang pernah menyumbang bagi menjayakan aktiviti sukan dan kokurikulum di sekolah itu, antaranya Majlis Sukan Sabah dan Bank Rakyat.

Pada majlis itu seramai 50 murid SK Tanjung Aru II menerima anugerah atas pencapaian masing-masing dalam bidang sukan dan kokurikulum sepanjang tahun lalu.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Muddin berkata adalah wajar untuk meraikan mereka yang telah berusaha bertungkus lumus bagi mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi khasnya dalam sukan dan kokurikulum.

“Sempena hari yang bersejarah ini, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah dan Syabas kepada murid-murid yang berjaya mencapai kecemerlangan dalam aktiviti sukan dan kokurikulum yang disertai di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa sepanjang 2024. 

“Harapan saya agar majlis ini menjadi peristiwa bersejarah dan inspirasi buat semua murid untuk lebih berdaya saing bagi mencapai kecemerlangan ke peringkat yang seterusnya,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, bagi mencapai kejayaan, semua pihak harus berganding bahu dan seiring mengatur langkah bersama usaha dalam merealisasikannya.

“Kita perlu menjadikan hubungan erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan agensi kerajaan dan swasta sebagai hubungan yang berasaskan tanggungawab bersama.

“Hal ini kerana, antara pihak ini adalah saling memerlukan dan sentiasa menyokong antara satu sama lain. Kesepakatan antara guru dan ibu bapa adalah salah satu tonggak kejayaan anak-anak.

“Matlamatnya juga sama, untuk membawa murid ke arah kecemerlangan sukan dan kokurikulum serta aspek kehidupan. Atas dasar matalamat itu, sokongan penuh diperlukan antara ibu bapa, murid dan guru,” katanya.