Advertisement

KPDN Semporna Tahan Lelaki Simpan 3,000 Liter Minyak Petrol – Sabah News

SEMPORNA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna menumpaskan sindiket penyelewengan minyak petrol bersubsidi menerusi OPS TIRIS 3.0 dalam satu serbuan yang dilakukan di salah sebuah stesen minyak sekitar pekan Semporna pada Khamis.

Serbuan dilakukan oleh 5 pegawai penguatkuasa KPDN Semporna pada kira-kira jam 9 malam atas hasil risikan yang telah dilakukan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Semporna, Dr. Jong Jee Leong berkata, modus operasi sindiket adalah menggunakan lori dan mengisi minyak Petrol di beberapa buah stesen minyak sebelum minyak Petrol tersebut dikumpulkan dan diedarkan di pasaran gelap.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan lori itu, pasukan serbuan telah menemukan 120 jeriken mengandungi cecair yang disyaki minyak Petrol dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 3,000 liter.

“Sebuah lori telah turut disita bagi tujuan siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 53,369.00,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Jelasnya, kertas Siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenalpasti individu atau Syarikat yang terlibat dalam aktiviti serta rantaian pengedaran minyak petrol tersebut termasuk sumber minyak petrol ini diperolehi dan diedarkan.

“Pihak KPDN juga akan giat melaksanakan pemantauan yang berterusan termasuk bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain untuk memastikan aktiviti sindiket ini dapat dilumpuhkan sepenuhnya,” katanya.