Advertisement

Sembilan Pekerja Ladang Sawit Dikejarkan Ke Hospital Kinabatangan Selepas Terhidu Racun Serangga Ketika Membaja  – Sabah News

KINABATANGAN: Sembilan pekerja ladang dikejarkan ke Hospital Kinabatangan selepas terhidu racun serangga semasa bertugas membaja pokok sawit di Ladang Sentosa Sime Darby berkeluasan 20 ekar, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, N. Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pasa jam 3.11 petang. 

Katanya, seramai enam anggota bomba dari BBP Kinabatangan telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 45 kilometer.

“Lapor terdapat sembilan orang pekerja ladang telah terhidu racun serangga jenis Carbosulfan UN3077 semasa menjalankan aktiviti membaja pokok sawit pada jam 9 pagi di ladang berkenaan. 

“Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Kinabatangan oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan susulan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.

“Pasukan bomba seterusnya bertindak menutup kawasan dan membuat persempadanan dengan memasang sawar-sawar bagi memastikan tiada bahaya lain wujud,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, pasukan bomba kemudian menasihati pemilik ladang untuk sentiasa menggunakan PPE yang sesuai ketika membuat kerja-kerja meracun.

“Setakat lebih kurang jam 8 malam tadi, lapan mangsa sudah keluar dari unit kecemasan Hospital dan seorang lagi masih di rawat di dalam wad kerana belum pulih sepenuhnya namun mangsa dalam keadaan stabil,” jelasnya.