Advertisement

Slogan ABC Diperkenal KPM Bantu Pembentukan Sahsiah Diri Dalam Kalangan Pelajar  – Sabah News

BEAUFORT: Pembentukan sahsiah diri yang baik dalam kalangan pelajar menjadi asas kepada kecemerlangan yang dicipta untuk masa depan yang cemerlang.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ruslan Muharam berkata, ia dapat dibuktikan menerusi slogan ‘Anak Yang Baik Lagi Cerdik’ (ABC) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Slogan ini, yang sering diungkapkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dato’ Hj Pkharuddin Hj Ghazali, menekankan bahawa kecemerlangan sebenar bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik semata-mata tetapi juga melalui pembentukan sahsiah diri yang baik.

Melalui konsep ABC, KPM menekankan empat asas penting untuk melahirkan generasi pewaris negara yang berilmu dan berakhlak mulia. Antaranya Hati; Ibadah; Trust dan Inspirasi dan Manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Murid Sekolah Kebangsaan Suasa , Beaufort Sesi 2024/2025 di Dewan d’sawit di sini baru-baru ini.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, beliau percaya menerusi falsafah itu akan memberi keyakinan bahawa murid-murid mampu mencapai kejayaan yang lebih gemilang dengan usaha gigih, sokongan guru, dan restu ibu bapa.

“Objektif utama majlis ini adalah untuk memberikan penghargaan kepada murid-murid yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum selain melahirkan pelajar yang berkualiti, berwawasan, dan bersemangat juang tinggi.

“Selain itu, ianya juga dapat memperkukuhkan budaya mencintai ilmu dalam diri murid-murid serta mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan murid untuk mencapai kejayaan,” katanya.