Advertisement

Kerjasama Selektif Warisan Seolah Untuk Memecahbelahkan GRS – Dr. Joachim – Sabah News

KOTA KINABALU: Hasrat Parti Warisan yang hanya mahu bekerjasama dengan PBS dan Star dilihat sebagai strategi memecahbelahkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, menggesa parti pembangkang terbabit untuk bekerjasama dengan GRS secara keseluruhan jika mereka ikhlas. 

“Mereka hanya memilih dua parti untuk bekerjasama seolah-olah cuba memecahbelahkan GRS. 

“PBS telah berada di GRS sejak hari pertama dan akan terus bersama GRS,” katanya selepas Majlis ‘Walkabout’ Tahun Baharu Cina di Jalan Gaya pada Ahad.

Mengenai soal integriti, yang sebelum ini ditegaskan oleh Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai kepincangan moral, khususnya apabila melibatkan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Joachim menekankan erti derma kewangan.

“Ini sembang politik sahaja kerana politik bergantung kepada dermaan yang boleh diterima.

“Sebenarnya, seluruh negara pun bergantung kepada derma dengan cara-cara berbeza.

“Jadi tidak boleh dikatakan integriti itu terjejas hanya kerana menerima sumbangan daripada pihak konglomerat, individu atau syarikat,” katanya.