Advertisement

Kira-Kira 60 Rumah Atas Air Musnah Dijilat Api, Tiga Mangsa Alami Sesak Nafas Dalam Kejadian Kebakaran Di Tawau – Sabah News

TAWAU: Kira-kira 60 buah rumah atas air dengan keluasan lebih kurang dua ekar musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran rumah di Kampung Sri Aman, Batu 3 Jalan Apas awal pagi tadi.

Dalam kejadian kebakaran itu turut dilaporkan terdapat tiga mangsa mengalami sesak nafas dan telah diberi rawatan awal di lokasi oleh EMRS Bomba. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.46 pagi.

“Seramai 47 anggota bomba dari BBP Tawau; 4 anggota dari Balai Bantuan BBP Kunak; 3 anggota unit drone; 7 anggota Bomba Komuniti Titingan bersama 17 agensi dari APM; lapan anggota PDRM dan tiga wakil dari Sabah Electricity telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 6 kilometer dan tiba pada jam 7.55 pagi. 

“Lapor kebakaran melibatkan rumah atas air jenis tidak kekal berkeluasan dua ekar dan anggaran 60 buah rumah musnah terbakar 100 peratus.

“Operasi pemadaman menggunakan satu aliran 500 kaki, dua pancutan dan jentera kedua membuat pemadaman menggunakan dua aliran 600 kaki, 4 pancutan manakala satu lagi pemadaman menggunakan pam angkut Bomba komuniti Titingan, sumber air dari jentera Bomba dan pili Bomba,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud di lokasi operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.20 pagi.