KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon berbakat besar, Amira Othman, kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharunya berjudul “Bila Nak Kahwin?”.
Diedarkan oleh Sony Music Malaysia dengan kerjasama kreatif bersama Emiera Othman Ventures, lagu ini adalah hasil ciptaan dua komposer terkemuka, Iqie Hugh dan Omar K bersama Amira sendiri.
Dengan gabungan mesej mendalam dan elemen muzik yang segar, “Bila Nak Kahwin?” tampil berbeza daripada karya-karya terdahulu Amira, menjadikannya sebuah karya yang unik serta relevan dengan kehidupan masyarakat masa kini.
Lagu Berakar Dari Realiti Hidup Sejak memulakan kerjaya seninya dari tahun 2013, sebagai figura publik yang dikenali ramai, Amira sering dihujani dengan pelbagai soalan, sama ada tentang kerjaya profesionalnya mahupun kehidupan peribadi.
Bertitik tolak dari soalan-soalan berikutlah membuahkan inspirasi untuk Amira melakar bait-bait liriknya kerana ada mesej yang ingin disampaikan.
“Saya yakin lagu ‘Bila Nak Kahwin?” ini sangat ‘relatable’ dengan ramai orang di luar sana, secara tidak langsung ada sesuatu yang ingin saya sampaikan dengan harapan ia menjadi pendorong serta semangat buat mereka yang sentiasa berdepan dengan situasi tersebut.
“Jadi, saya memandangnya dari sudut positif dan jadikannya sebagai inspirasi dalam penghasilan lagu ini,” jelas Amira.
Amira turut berkongsi bahawa proses kreatif lagu ini menjadi lebih menarik dengan bantuan Iqie Hugh dan Omar K, yang berjaya menterjemahkan pengalaman tersebut ke dalam melodi dan lirik dengan penuh kreatif.
Gabungan Elemen Tradisional & Moden Lagu “Bila Nak Kahwin?” menghidangkan elemen muzik dalam nuansa pop moden dengan
sentuhan unik bunyian klasik seperti alunan alatan muzik akordion.
“Saya mahukan kelainan dalam lagu ini sambil mengekalkan melodinya yang segar. Tetapi, dalam masa yang sama saya cuba mengembalikan lagu-lagu terdahulu seperti ‘Hati Hati’ dan ‘Jaga Jaga’,” kata Amira.
Proses rakaman lagu ini hanya memakan masa selama 3 sehingga 4 jam sahaja, menjadikan ia sebuah pengalaman yang pantas namun tetap bermakna bagi Amira. Lebih istimewa lagi, ini merupakan kali pertama Amira turut serta dalam proses penulisan lirik bersama kedua- dua komposer.
Konsep MV Yang Dekat Di Hati Muzik video (MV) “Bila Nak Kahwin?” dijangka bakal mendapat sambutan hangat. Konsepnya yang ringkas tetapi berkaitan dengan kehidupan iaitu gambaran situasi yang sering dialami ramai, terutamanya ketika menghadiri majlis perkahwinan.
“Soalan cepu mas seperti ‘Bila nak kahwin?’ itu pasti biasa didengar oleh ramai orang, dan MV ini cuba menggambarkan situasi sebenar yang berlaku dalam kehidupan seharian,” terang Amira.
Harapan & Aspirasi Amira Melalui single ini, Amira berharap mesej tentang kepercayaan kepada takdir Ilahi akan dapat disampaikan kepada para pendengar. “Saya ingin mengingatkan pada semua bahawa jodoh, rezeki dan masa depan kita kesemuanya adalah ketentuan dari Tuhan.
“Jadi, saya harap ia menjadi sumber inspirasi kepada mereka yang sering berdepan soalan sama seperti saya,” katanya.
Amira turut menyasarkan agar lagu ini bukan sahaja diterima baik di Malaysia, tetapi juga mampu menembusi pasaran luar negara. Selain itu, Amira juga berharap lagu ini menjadi tular di platform media sosial seperti TikTok dan memberi impak yang besar kepada peminat tersayang dan pendengar muzik amnya.
Pelancaran Di Semua Platform Digital “Bila Nak Kahwin?” kini boleh didengari di semua platform penstriman utama seperti Apple Music, ,Joox, Spotify, dan YouTube Music. Lagu ini juga boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan.
Jangan lepaskan peluang untuk mendengar single terbaharu Amira Othman yang pasti akan menceriakan hari anda dengan mesej positif dan muzik yang segar.
Jangan lupa juga kongsikan pengalaman anda pada #BilaNakKahwin di media sosial.