SEMPORNA: Enam orang termasuk seorang bayi maut selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Kelumpang di pantai timur jalan Semporna-Tawau pada petang Ahad.
Kesemua enam mangsa di dalam kereta jenis Proton Wira itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan, menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, Madzlan Sarman.
Beliau berkata, kemalangan yang turut membabitkan kenderaan pacuan empat roda Isuzu Dmax dan Toyota Innova itu berlaku kira-kira 4.40 petang dan mereka dimaklumkan pada 4.58 petang.
“Keenam-enamnya, termasuk bayi dan seorang wanita muda maut di tempat kejadian manakala orang ketujuh dalam kereta terbabit mengalami kecederaan,” katanya.
Beliau menambah bahawa kes sedang dikendalikan oleh polis manakala lapan lagi mangsa lain hanya mengalami kecederaan ringan.