TAWAU: Cubaan berani mati seorang lelaki ingin meloloskan diri ke negara jiran gagal selepas dikesan menyeludup dadah jenis syabu dan ekstasi ketika dalam pemeriksaan di Terminal Feri, Tawau oleh Polis Bantuan Usahawan Borneo Tawau.
Polis Tawau dalam satu kenyataan berkata hari ini berkata, semasa kejadian, kelihatan seorang lelaki mencurigakan berlegar-legar di kawasan Terminal Feri, Tawau.
Apabila ditahan, lelaki tersebut bertindak agresif namun berjaya ditangkap.
Hasil pemersiksaan tubuh badan suspek dijumpai tiga paket plastik lutsinar mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dan satu paket plastik jernih berisi dadah jenis pil ekstasi.
Suspek kemudiannya diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Tawau untuk tindakan lanjut.
Anggaran berat kasar rampasan dadah jenis syabu ialah 261.0gram dan pil ekstasi adalah 20.52gram. Keseluruhan nilai harga berjumlah RM17,500.
Anggota Polis Narkotik turut membuat saringan awal ujian air kencing terhadap suspek dan didapati positif Methamphemine dan Amphetamine.
Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika didapati bersalah boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya hukuman yang diberikan oleh Mahkamah adalah hukuman penjara seumur hidup, tertuduh hendaklah juga disebat tidak kurang 15 sebatan.