KUALA LUMPUR: Polis berhak memeriksa telefon bimbit individu sekiranya terdapat syak wasangka atau maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menjelaskan tindakan ini berlandaskan Seksyen 23(1) Kanun Prosedur Jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, yang mengawal komunikasi berunsur lucah, ugutan, atau ancaman.
Kuasa ini juga diperkuat melalui Seksyen 249 AKM dan Seksyen 116B Kanun Prosedur Jenayah, yang membenarkan akses kepada data berkomputer termasuk telefon bimbit. Pemeriksaan hanya boleh dilakukan oleh pegawai polis berpangkat inspektor ke atas.
“Justeru, tiada pihak boleh mempertikaikan kuasa memeriksa telefon bimbit ketika sekatan jalan raya, namun ia mesti dibuat secara berhemah dan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, bukan sesuka hati tanpa sebab munasabah,” katanya seperti yang dilaporkan oleh BH Online.
Beliau berkata demikian bagi mengulas video tular menunjukkan seorang individu mempertikai tindakan polis menahan seseorang dan memeriksa telefon bimbit.
Tambahnya, pemeriksaan tanpa waran dibenarkan jika terdapat sebab munasabah seperti risiko pemusnahan bukti, manakala keengganan memberikan kerjasama boleh menyebabkan penahanan.
Menurutnya, jika telefon mengandungi bahan lucah, aplikasi judi, atau elemen jenayah lain, tindakan lanjut akan diambil mengikut undang-undang seperti Seksyen 292 Kanun Keseksaan atau Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Pada masa sama, Razarudin menegaskan polis boleh mengambil telefon untuk siasatan lanjut jika ia relevan dengan kes yang sedang disiasat. Namun, tindakan pemeriksaan mesti dilakukan secara berhemah dan berlandaskan undang-undang.