Advertisement

Sarjan Didakwa Terima RM1,800 Cuba Lindungi Aktiviti Pengedaran Dadah Di Kudat Tiga Tahun Lalu – Sabah News

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Seorang pegawai polis berpangkat Sarjan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini semalam atas pertuduhan menerima wang suapan bernilai RM1,800 bagi tujuan melindungi dan membiarkan aktiviti pengedaran dadah di daerah Kudat pada tahun 2021.

Tertuduh, Zakaria Mohd Jasni, 41 tahun yang kini bertugas di IPD Semporna bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut pertuduhan, Zakaria pada 18 Jun 2021 bertempat di Maybank Cawangan Putatan, sebagai seorang ejen Kerajaan Malaysia, iaitu Sarjan di Jabatan Siasatan Narkotik PDRM yang bertugas di IPD Kudat secara rasuah memperoleh satu suapan, iaitu wang berjumlah RM1,800 daripada seorang individu. 

Wang tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya bernombor 151044024306 melalui akaun milik individu lain sebagai balasan untuk tidak melakukan apa-apa perbuatan
berhubungan dengan hal ehwalnya.

Iaitu tidak mengambil tindakan ke atas pengedaran dadah yang dijalankan oleh seorang individu di daerah Kudat, Sabah.

Oleh itu, tertuduh didakwa telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Tertuduh seterusnya diikat jamin dengan jaminan yang sama seperti pertuduhan sebelum ini, iaitu sebanyak RM10,000 yang mana deposit Rm3,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM setiap dua bulan sekali dan diarahkan untuk tidak mengganggu saksi selain pasport antaranbangsa tertuduh perlu diserahkan kepada pihak mahkamah.

Kes dikendalikan oleh pendakwa Norsham Saharom, manakala tertuduh diwakili peguam Luke Ressa Balang.