Advertisement

Polis Berkas Wanita Tempatan, Terlibat Kes Curi Kabel Telekom Di Penampang – Sabah News





Foto: Ihsan PDRM Penampang

PENAMPANG: Anggota Balai Polis Penampang telah berjaya memberkas seorang perempuan warga tempatan berumur 25 tahun kerana disyaki terlibat dengan kes curi kabel Telekom di Daerah Penampang, awal pagi tadi.

Polis Penampang dalam satu kenyataan berkata, suspek telah berjaya ditangkap selepas berlakunya aksi kejar mengejar yang mana kenderaan dinaiki suspek terbabas ke arah sungai manakala tiga lagi rakan lelaki suspek berjaya melarikan diri.

“Pihak polis turut merampas pelbagai jenis barang antaranya seperti kabel Telekom dan pemotong besi.

“Pihak Polis Penampang masih mengesan tiga orang lagi suspek yang masih bebas dan kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambah kenyataan itu, sekiranya orang ramai mempunyai maklumat berkaitan dengan kes seumpama ini atau lain-lain kes berkaitan jenayah, dadah dan sebagainya, boleh kongsi dan salurkan maklumat tersebut di Balai Polis Penampang.