Advertisement

“Kasih Bagus Dulu Parti Kamu, Sebelum Sibuk Kasih Bagus Sabah” – Orang Sabah Tempelak Hamzah – Sabah News

KOTA KINABALU: Orang Sabah menempelak kenyataan atau ‘tagline’ – ‘Kasih bagus Sabah’ yang dibawa oleh parti pembangkang di peringkat nasional, Perikatan Nasional (PN).

“Selepas BN dan Warisan, sebuah lagi parti nasional mula menyerang kepimpinan negeri Sabah dan GRS. Kata Timbalan Presiden parti tersebut, ‘kasih bagus Sabah’.

“Pesan kami, kasih bagus dulu parti kamu sebelum sibuk kasih bagus Sabah,” tegas Naib Ketua Pemuda Parti Gagasan Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim dalam satu kenyataan menerusi hantaran di Facebook menempelak Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang datang ke jelajah ke Sabah baru-baru ini.

Dalam pada itu, Azrul yang juga Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Kawang berkata, dibawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Sabah telah mencatatkan pelbagai pencapaian yang signifikan baik dalam soal kutipan hasil negeri (tiga tahun berturut-turut mencatat rekod tertinggi dalam sejarah), nilai perdagangan tertinggi, peningkatan kemasukan pelabur asing dan pertumbuhan ekonomi yang meyakinkan.

“Dalam tempoh empat tahun ini juga, pelbagai nikmat diperolehi rakyat baik dalam soal pendidikan (BUDI, BAKTI, BAGUS, BAIK dan lain-lain), pelaksanaan inisiatif untuk pelajar termasuk subsidi penerbangan sebanyak RM600 seorang (pelajar Sabah di Semenanjung, Sarawak dan Labuan), subsidi pengangkutan sebanyak RM300 seorang (pelajar Sabah dalam negeri) dan banyak lagi.

“Pertama kali dalam sejarah juga diperkenalkan inisiatif Sentuhan Kasih Rakyat dengan pemberian bantuan sebanyak RM300 sebulan selama 12 bulan kepada miskin dan miskin tegar di Sabah selain peningkatan dana pembinaan Rumah Mesra SMJ (projek kerajaan negeri bagi membolehkan golongan memerlukan memperoleh rumah secara percuma).

“Perancangan rapi kerajaan negeri dalam soal tenaga boleh diperbaharui akan dapat mengatasi gangguan bekalan elektrik (serta air) dalam tempoh 3 hingga 5 tahun mendatang dengan pelaksanaan projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas dan round off river di Tenom, projek gas engine di KKIP dan Sipitang serta pelaksanaan solar farm di 15 kawasan seluruh negeri yang pasti menambah kapasiti grid bekalan elektrik seluruh Sabah, selain perancangan dan pelaksanaan loji rawatan air bagi memastikan bekalan air sentiasa memenuhi keperluan dan permintaan,” jelasnya.

Tambah Azrul, komitmen ini jelas menunjukkan kerajaan GRS memiliki keupayaan untuk membawa Sabah lebih maju pada masa akan datang.

“Berbalik kepada serangan yang dibuat oleh Timbalan Presiden parti nasional tersebut, beliau kata rakyat Sabah perlu ubah kerajaan dan memilih mereka dalam PRN17 kelak.

“Namun, kenyataan beliau yang partinya akan bertanding di lapan belas kawasan DUN nyata menimbulkan persoalan, adakah mereka akan bergabung dengan parti lokal kelak?

“Seingat saya, beberapa program yang dibuat oleh parti beliau di Sabah turut dihadiri oleh pemimpin sebuah parti lokal yang pernah menerajui negeri Sabah. Jika ini benar, PRN17 Sabah bakal menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga blok parti politik.

“Melihat kepada sentimen serta naratif semasa, inshaa Allah GRS memiliki banyak kelebihan untuk dipilih oleh rakyat Sabah.

“Seharusnya rakyat Sabah menghantar signal jelas bahawa kita mahukan kesatuan. Dengan memilih kesatuan, kita mampu mewujudkan kestabilan negeri. Inilah formula ampuh bagi kita menjadikan Sabah lebih maju dan membangun,” tambahnya.