KOTA KINABALU, SABAH – Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin diingatkan supaya tidak mempolitikkan masalah infrastruktur asas Sabah yang “diwarisi” kerajaan terdahulu.
Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah Tandek, Datuk Dr Janathan Kandok, berkata tidak wajar masalah bekalan air, elektrik dan jalan raya itu dijadikan mainan politik untuk meraih undi.
“Kerajaan GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sedang melakukan yang terbaik dalam mengatasi masalah tersebut. Agak keterlaluan Hamzah mengkritik Kerajaan GRS yang hanya mewarisi isu tersebut.
“Tidak perlu jadikan masalah ini sebagai isu politik untuk meraih sokongan rakyat… jangan tuding jari dan salahkan kerajaan. Jika anda (Hamzah) begitu yakin, maka buktikan pada pilihan raya akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata rakyat Sabah tidak akan terpengaruh dengan sentimen seolah-olah masalah infrastruktur asas yang dihadapi hari ini hanya berlaku selepas pilihan raya umum 2020.