Advertisement

Trump Gelar WHO Penipu, Umum Amerika Syarikat Keluar – Sabah News

AMERIKA SYARIKAT: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan bahawa negara itu akan menarik diri dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan mendakwa agensi kesihatan global tersebut telah gagal mengendalikan pandemik COVID-19 dan krisis kesihatan antarabangsa lain dengan baik.

Trump menyatakan bahawa WHO tidak bertindak secara bebas daripada “pengaruh politik yang tidak wajar dari negara anggota WHO” dan mengenakan “bayaran yang tidak adil” kepada AS berbanding negara besar lain seperti China.

Trump menyatakan, “WHO telah menipu kami, semua orang menipu Amerika Syarikat. Ini tidak akan berlaku lagi,” semasa menandatangani perintah eksekutif mengenai pengunduran tersebut, sejurus selepas beliau dilantik semula untuk penggal kedua.

Keputusan ini bermakna Amerika Syarikat akan keluar dari agensi kesihatan PBB itu dalam tempoh 12 bulan dan menghentikan semua sumbangan kewangan kepada WHO.

Amerika Syarikat adalah penyumbang kewangan terbesar kepada WHO, dengan sekitar 18 pertus daripada keseluruhan pembiayaan agensi tersebut. Belanjawan dua tahun WHO yang terbaru, bagi 2024-2025, adalah $6.8 bilion (RM30.6 bilion).

Pada masa lalu, Trump juga menghentikan sumbangan AS kepada WHO pada 2020-2021, yang menyebabkan agensi itu kehilangan hampir $200 juta (RM900 juta) berbanding belanjawan dua tahun sebelumnya, ketika dunia menghadapi kecemasan kesihatan terburuk dalam satu abad.