Advertisement

GRS Tidak Takut Berdepan Mana-Mana Parti Politik Termasuk PN Pada PRN Sabah Ke-17 – Masidi – Sabah News

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun menegaskan bahawa GRS tidak takut untuk berdepan dengan mana-mana parti politik termasuk Perikatan Nasional (PN) yang mahu bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).

Jelasnya, ini kerana Malaysia termasuk Sabah sentiasa mengamalkan sistem demokrasi dan terbuka untuk mana-mana bertanding.

“Dipersilakan, negara ini termasuk Sabah mengamalkan demokrasi. Jadi siapa-siapa sahaja boleh bertanding termasuk kawasan saya sendiri. Kita alu-alukan dengan penuh senang hati.

“Jika mereka (parti politik) selesa atau ada peluang boleh menang dipersilakan, kita tidak ada halangan. Lagipun ini cuma pertandingan pilihan raya bukan pertandingan untuk bertumbuk antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina 2025 AFFIN Bank di sini, semalam.

Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, demikian bagi mengulas hasrat Part Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang mungkin akan bertanding lebih 18 kerusi pada PRN akan datang.

Katanya, pihaknya tidak melihat saingan politik di negeri ini sebagai sesuatu yang peribadi.

“Kita boleh berbeza dari segi amalan politik, dari segi budaya kita tidak pernah mengutuk orang lain, kita laksanakan dan kita praktikkan politik kita secara berhemah, secara persahabatan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai sokongan rakyat kepada parti tempatan khususnya GRS, Masidi berkata, pihaknya yakin rakyat masih menyokong parti tempatan khususnya GRS.

“Saya serahkan kepada para pengundi tapi saya bukan bercakap seolah-olah saya ‘overconfident’ dan sebagainya, seolah merasa riak.

“Tapi setakat yang saya dapar respon kerana saya selalu balik kampung setiap hujung minggu saya rasa rakyat masih menyokong kita,” jelasnya.