TAWAU: Polis telah menahan seorang lelaki berhubung kes ugutan jenayah selepas mangsa menerima panggilan berbaur ancaman, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, mangsa, seorang wanita berusia 31 tahun, membuat laporan Polis berikutan mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang juga bekas suami rakannya kerana tidak berpuas hati tanpa sebab, jumaat lalu. Suspek turut menyalahkan mangsa kerana membawa bekas isterinya keluar tanpa kebenarannya.
“Dalam panggilan tersebut, suspek telah menyatakan niat untuk menetak mangsa dan rakan mangsa,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang berasa terancam segera membuat laporan polis di Balai Polis Tawau kira-kira jam 10.32 malam pada hari yang sama.
Ujarnya, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau berjaya menahan suspek lelaki berusia 36 tahun dalam satu operasi di sekitar kawasan gerai makanan, Sabindo kira-kira jam 4.20 petang tadi.
“Suspek tahanan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali,” tambah ACP Jasmin.
Katanya, Polis juga turut merampas telefon bimbit milik suspek yang digunakan semasa kejadian.
Tambahnya, hasil semakkan rekod, suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Tegas ACP Jasmin, pihak Polis turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan yang boleh mengancam keselamatan orang lain dan menasihati agar sebarang pertikaian diselesaikan secara aman tanpa melibatkan ancaman atau keganasan.