KOTA KINABALU: Program Outreach dan Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani bertemakan “Kepulangan Yang Dinanti” telah dirasmikan semalam sempena sambutan Tahun Baru Cina 2025.
Program itu mencerminkan usaha Jabatan Penjara Malaysia dalam memperkukuhkan nilai ihsan, kemanusiaan, dan komitmen kerajaan untuk memberi peluang kedua kepada banduan.
Majlis perasmian ini turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kerajaan, pemain industri, dan NGO yang berganding bahu memastikan prospek dapat kembali menjadi individu berguna kepada masyarakat.
Sebanyak 115 prospek dari Zon Sabah dan WP Labuan telah layak menyertai pelepasan ini setelah memenuhi syarat menjalani sekurang-kurangnya satu pertiga daripada hukuman mereka dan menunjukkan komitmen melalui program pemulihan.
Menurut Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib, program itu bukan sekadar membolehkan prospek kembali ke pangkuan keluarga tetapi juga membuka jalan untuk mereka membina kehidupan lebih baik.
“Pelbagai inisiatif telah dirancang, termasuk latihan teknikal dan vokasional, keusahawanan, kursus digital, dan peluang pekerjaan melalui kerjasama erat dengan agensi seperti GiatMARA, HRDCorp, dan NGO teknologi.
“Prospek perlu diberikan peluang untuk membina kehidupan baru. Kerjasama dengan majikan tempatan dan pemain industri sangat penting untuk memastikan mereka diterima dan mampu menjalani kehidupan produktif,” katanya.