KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah menahan dan merampas bot nelayan di barat laut Pulau Manukan lebih kurang 11 malam semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W. P Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik menyatakan bot peronda Maritim KILAT 36 yang dalam siri Operasi Sejahtera itu telah mengesan bot nelayan tersebut bersama empat orang kru jam.
“Ketika bot peronda cuba menghampiri untuk pemeriksaan, bot nelayan tersebut telah cuba melarikan diri dan berlaku aksi kejar mengejar sebelum kesemua kru bot nelayan terjun ke laut untuk meloloskan diri.
“Seterusnya, hasil pemeriksaan mendapati beberapa peralatan untuk menyelam telah dijumpai bersama muatan ikan yang dipercayai ditangkap dengan cara menggunakan bahan letupan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati keputusan bedah siasat awal adalah positif ditangkap menggunakan bahan letupan,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Selanjutnya, bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan yang dianggarkan berjumlah 200 kilogram itu dirampas, ditahan dan dibawa ke Jeti APMM, Sepanggar untuk siasatan lanjut.
Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan lebih kurang RM17 ribu.
Kes disiasat dibawah Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM4 juta atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan bahan terlarang seperti bahan letupan ini boleh memberi kesan buruk kepada ekosistem lautan dan mengakibatkan habitat hidupan laut semakin pupus.
“Komuniti Maritim dinasihatkan tidak melakukan aktiviti menangkap ikan yang melanggar manamana undang-undang dan peraturan – peraturan yang telah ditetapkan,” tegas Suhaimi.