Advertisement

KPDN Labuan Periksa Lebih 13 Ribu Premis Perniagaan Dalam Bandar Dan Luar Bandar Sepanjang Tahun Lalu – Sabah News

LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan telah melaksanakan sebanyak 13,236 pemeriksaan melibatkan premis perniagaan dalam bandar dan luar bandar Labuan sepanjang tahun lalu.

Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 268 premis telah diperiksa menerusi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

“Menerusi pemeriksaan pada SHMMP, pihak kita telah mengambil tindakan kes terhadap tiga peniaga pada tahun lalu.

“Bagaimanapun, penguatkuasaan secara berhemah turut dilaksanakan dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran kepada peniaga agar sentiasa mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Junaidah hadir pada majlis perasmian pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2025 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang disempurnakan Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek.

Pada majlis itu, Simsudin turut bersama pasukan pemeriksaan KPDN Labuan untuk membuat tinjauan serta memastikan peniaga mematuhi arahan pelaksanaan SHMMP Tahun Baru Cina 2025 yang berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 2 Februari 2025.

Beliau turut berkesempatan  meninjau  pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Tahun Baru Cina dan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Back To School yang dijalankan di pasaraya sama.

PJRM ini adalah merupakan inisiatif dilancarkan KPDN di bawah Payung Rahmah Madani bagi membantu golongan berpendapatan rendah.

Program ini menawarkan diskaun antara 10 peratus hingga 30 peratus barangan keperluan bagi perayaan Tahun Baru Cina dan kelengkapan persekolahan.

Sementara itu, Junaidah berkata, peniaga juga diingatkan agar sentiasa mengamalkan etika peniagaan yang baik seperti tidak menyorok dan menyeleweng barang kawalan bersubsidi serta menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sesuka hati.

“Ini bagi mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan ke atas mereka. Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

“Peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dan boleh dikenakan penalti,” katanya.

Dalam pada itu, Junaidah berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan dan menggalakkan pengguna terus menjadi mata dan telinga kepada Kerajaan untuk menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan pelanggaran undang-undang di bawah seliaan KPDN secara rasmi melalui saluran yang disediakan.