PUTATAN: Keperluan masyarakat Cina di Putatan mendapat perhatian Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang bersetuju menyalurkan sumbangan menggunakan peruntukan khas menteri masing-masing RM30,000 kepada sekolah SRJK Hwa Shiong Putatan dan Tai Pak Kung Temple Putatan.
Selain itu beliau turut menyampaikan sumbangan daripada Touchpoint Ahli Parlimen masing-masing RM5,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Masyarkat Tiong Hwa Putatan dan Pertubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas UTC Kota Kinabalu.
Kelulusan peruntukan itu susulan permohonan yang dikemukakan oleh masyarakat Cina Putatan pada program hari ini.
“Saya mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah dan keperluan rakyat Putatan.
“Penyelesaian tuntus keperluan mereka terletak di bawah kementerian-kementerian bertanggungjawab dan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan sambutan Tahun Baharu Cina Putatan anjuran Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Tiong Hwa Putatan dan Pertubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas UTC Kota Kinabalu, di Putatan Mall, di sini, hari ini.
Mengenai sambutan itu, Ewon berharap, majlis seumpama itu dapat mengukuhkan lagi perpaduan sedia ada dikalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
“Malaysia ini adalah tentang kebersamaan, kebersamaan wilayah iaitu wilayah di Semenanjung dan wilayah Borneo. Kalau salah satu wilayah ini mahu bercerai ertinya negara ini tidak akan wujud lagi.
“Selain itu, kebersamaan etniknya, kerana dari dahulu sehingga hari ini, Malaysia dikenali sebagai negara majmuk pelbagai kaum, agama dan warisan budaya. Kalau ada satu etnik mahu bercerai dengan etnik lain, maka siapa pun yang menjadi kerajaan akan berhadapan kesukaran mentadbir negara.
“Sebab itu, kita mahu memupuk kebersamaan rakyat sepanjang masa, bukan hanya sambutan Tahun Baharu Cina tetapi juga Hari Raya dan Pesta Kaamatan,” katanya.
Beliau turut menghargai inisiatif kedua-dua persatuan yang melaksanakan penyampaian bantuan kebajikan kepada warga emas dan yang memerlukan sempena program ini.