Advertisement

Perkataan ‘Palui’ Oleh Hamzah Jelas Dan Tidak Pernah Ditujukan Kepada Rakyat Sabah Secara Keseluruhan  – Sabah News

KOTA KINABALU: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Sabah (BERSATU) menegaskan bahawa kenyataan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berhubung penggunaan perkataan “palui” adalah jelas dan tidak pernah ditujukan kepada rakyat Sabah secara keseluruhan.

Ketua ARMADA BERSATU Libaran, Mohammad Hanafe Kifly berkata, sebaliknya, ia merujuk secara spesifik kepada pemimpin tertentu di Sabah yang terlibat dalam isu rasuah dan kegagalan mentadbir negeri dengan baik.

“Adalah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab bagi mana-mana pihak untuk menjual sentimen rakyat Sabah dengan memutarbelitkan kenyataan ini sebagai penghinaan terhadap rakyat.

“Fitnah seperti ini hanya bertujuan untuk mengalihkan perhatian daripada kelemahan dan kegagalan pentadbiran negeri Sabah dalam manangani isu-isu kritikal seperti bekalan air, jalan raya, dan infrastruktur asas.

“Kami menyeru agar semua pihak berhenti bersembunyi di belakang isu “palui” semata-mata untuk menutup kelemahan pentadbiran negeri,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, fokus utama seharusnya diberikan kepada usaha memperbaiki keadaan rakyat Sabah, bukan bermain politik murahan dengan menabur fitnah terhadap kepimpinan.

“BERSATU sentiasa konsisten dalam memperjuangkan nasib rakyat Sabah dan menentang sebarang bentuk salah guna kuasa yang merugikan rakyat,” tegasnya.