KUALA LUMPUR: Jojo atau Nur Hasan Balas merupakan kumpulan One Nation Emcees dilaporkan meninggal dunia pagi tadi dipercayai akibat serangan jantung.
Memetik mStar, berita duka itu dikongsi penyanyi Mimy Fly yang memaklumkan sahabatnya itu meninggal dunia selepas rebah di dalam masjid.
“Dia memang pernah mengalami strok beberapa bulan lepas. Saya dapat tahu dia tiba-tiba rebah di masjid ketika perjumpaan kumpulan tabligh.
“Baru tadi saya dapat panggilan daripada isterinya yang berada di Taiping. Saya tidak tahu lagi secara terperinci,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Mimi berkata, meskipun sudah lama tidak berjumpa namun mereka masih kerap berhubung malah merancang untuk bertemu dalam masa terdekat.
Tambah Mimi atau Shamimi Amalina Norhisham, 29 tahun, Jojo seorang sahabat yang baik.
“Dia hari lepas kami baru berhubung dan ada perancangan untuk melakukan bisnes raya bersama.
“Jojo ini baik orangnya, saya dah lama tak jumpa dia. Kami hanya berhubung menerusi panggilan telefon kerana dia menetap di Taiping, Perak,” jelasnya.