KOTA KINABALU: Sambutan Jubli Perak sempena ulang tahun ke-25 Bandaraya Kota Kinabalu bermula 2 Februari ini akan dimeriahkan dengan pelbagai acara yang berupaya menyatukan komuniti bandaraya.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, sambutan yang merupakan titik penting dalam sejarah Kota Kinabalu itu juga adalah usaha bagi membina masa depan yang lebih gemilang.
“Acara ini diserikan dengan pelbagai program menarik yang dirancang rapi untuk menyatukan komuniti serta meraikan pencapaian bandaraya kita sepanjang 25 tahun. Antaranya ialah KK Clean Up Day, Cabaran Kampungku Bersih.
“Inisiatif ini berjaya mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat selain menonjolkan semangat kesepaduan dan tanggungjawab bersama terhadap kebersihan dan kelestarian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pada majlis Kupi-Kupi Mayor Bersama Media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) baru-baru ini.
Sabin berkata, sepanjang tahun ini, sebanyak 27 acara istimewa telah disusun untuk memeriahkan sambutan ulang tahun ini.
Antara acara utama katanya adalah majlis pelancaran ulang tahun ke-25 Jubli Perak dan Majlis Apresiasi DBKK, yang bertujuan mengiktiraf sumbangan pelbagai pihak dalam memastikan kemajuan dan kesejahteraan bandaraya.
“Sebagai satu lagi langkah bersejarah, kita juga akan menyaksikan buat julung kalinya Upacara Menaikkan Bendera yang akan melibatkan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, satu penghormatan besar yang menambah makna kepada sambutan ini.
“Tidak ketinggalan, Fiesta Makan-Makan akan turut diadakan selain penganjuran Festival Sastera dan Puisi Esei Antarabangsa Ke-4, yang akan menonjolkan keindahan seni kreatif sebagai elemen penting dalam identiti bandaraya,” katanya.
Dalam pada itu, Sabin berkata, program Kota Kinabalu International Mayors Dialogue 2025 turut dianjurkan buat kali pertama yang akan mengangkat nama Kota Kinabalu ke persada dunia selain memperkukuh kedudukannya sebagai bandaraya bertaraf antarabangsa.
“Bagi menonjolkan kecintaan terhadap alam sekitar dan seni landskap, Festival Landskap Kota Kinabalu (FLKK), salah satu acara yang dijangka memukau dan mencerminkan keindahan serta usaha melestarikan persekitaran bandaraya kita,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media yang memainkan peranan penting sebagai penyampai maklumat dan suara masyarakat yang turut membantu memperkukuhkan hubungan antara DBKK dan komuniti setempat.