KOTA KINABALU: ‘Walkabout’ Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Api-Api di kawasan sekitar Tamu Jalan Gaya pagi tadi berjaya membina ikatan dan jalinan silaturahim yang lebih baik dan kukuh bersama pengunjung seterusnya komuniti setempat.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Api-Api Datuk Yeo Boon Hai berkata, program ‘walkabout’ atau tinjauan mesra sempena Sambutan Tahun Baharu Cina itu turut menyantuni para peniaga di tamu berkenaan.
Katanya, usaha itu merupakan satu langkah bagi mengukuhkan ikatan serta membina jalinan yang harmoni.
“Tujuan kami itu adalah untuk merapatkan lagi silaturrahim antara Kerajaan dengan rakyat. Kami mewakili Gagasan Rakyat yang juga sebahagian daripada pemerintah Kerajaan pada masa ini.
“Kita juga gembira kerana dapat berkongsi pengalaman bersama komuniti dan serba sedikit kami dapat merapatkan silaturrahim, bukan sahaja bersama parti tapi bersama komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan tinjauan mesra kepada peniaga dan komuniti setempat sekitar Tamu Jalan Gaya di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Datuk Roland Chia; Timbalan Setiausaha Agung Gagasan Rakyat Datuk Stephen Jimbangan; Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Api-Api Datuk Faisyal Yusof Hamdain Diego.
Turut hadir sama mewakili parti komponen dalam GRS, Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) N.20 Api-Api, Yee Tsai Yiew dan Ketua Pemuda Parti Liberal Demokratik Bahagian Api-Api, Alvin Lee fook Lim.
Boon Hai berkata, rakyat sentiasa dekat dengan Kerajaan dan akan terus menyantuni komuniti setempat terutama komuniti Tionghua.
“Jadi, bagi pihak kerajaan kami berterima kasih kepada rakyat untuk sokongan yang berterusan. Untuk membuat masyarakat ini berharmoni, yang paling penting adalah kita ada keprihatinan dan silaturahim.
“Antara kerajaan dan rakyat kami sentiasa berkhidmat untuk rakyat kalau ada apa-apa masalah,” katanya.