RANAU: Seorang wanita berusia 22 tahun dilaporkan tidak sedarkan diri dan mengalami sesak nafas ketika melakukan aktiviti mendaki Gunung Kinabalu hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggila kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.20 pagi.
“Pasukan PBB MOSAR menerima panggilan bahawa terdapat seorang pendaki tidak sedarkan diri di Checkpoint Sayat-sayat Gunung Kinabalu.
“Pasukan PBB MOSAR bersama SAR-HAT dan Malim Gunung membawa turun mangsa ke Sick Bay dan dilaporkan mangsa kembali sedar dan mengalami sesak nafas.
“Seterusnya operasi menurunkan mangsa menggunakan kaedah Piggy Back Carry menuju ke Timpohon Gate,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Ambulans KKM dan dihantar ke Klinik Kesihatan Bundu Tuhan untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.