TAWAU: Polis memberkas seorang lelaki warga asing selepas disyaki merogol anak tirinya yang masih di bawah umur dan mengugut mencederakan anaknya sekiranya bekas isteri suspek membuat laporan polis baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat hasil laporan yang diterima daripada seorang wanita berusia 30-an yang juga bekas isteri suspek kira-kira jam 10.15 pagi pada Jumaat lalu di Balai Polis Kalabakan.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Kalabakan yang diketuai oleh Ketua Polis Balai Kalabakan telah menjalankan operasi di sebuah bangunan Ladang di kawasan Kalabakan dan memberkas seorang suspek lelaki warga asing berusia 32 tahun kira-kira jam 6.00 petang pada hari yang sama.
“Hasil siasatan awal mendapati, suspek telah melakukan jenayah seksual terhadap mangsa, seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun, sejak beberapa bulan yang lalu.
“Suspek turut memberi ancaman kepada bekas isterinya bahawa dia akan mencederakan dan membunuh anak mereka sekiranya wanita itu melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, mangsa sebelum ini telah dijaga oleh bapa tirinya menceritakan kejadian tersebut kepada ibunya pada 20 Januari yang lalu di rumahnya.
Suspek ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
ACP Jasmin dalam pada itu menyeru masyarakat agar sentiasa peka terhadap isu keganasan domestik dan penderaan terhadap kanak-kanak.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai jenayah seperti ini agar segera melaporkannya kepada pihak polis.