KATA orang tua-tua, tak semua tempat boleh diceroboh sesuka hati.
Malah, kita juga perlu menjaga adab apabila ‘masuk’ ke sesuatu kawasan .
Memetik mStar, kata-kata ini cukup memberi kesan buat Badrul (bukan nama sebenar) yang pernah diberi ‘amaran keras’ ketika dia cuba meratakan tapak sebuah rumah lama.
Sebagai kontraktor, Badrul hanya melakukan tanggungjawabnya sebagaimana yang diarahkan oleh pelanggan.
Namun, tindakan Badrul yang meratakan tapak rumah pusaka di Kelantan pada tahun 2014 membawa padah apabila dia jatuh sakit berbulan-bulan lamanya.
Pada hari kejadian, Badrul membawa kira-kira lima orang pekerja yang datang menaiki jengkaut dan lori untuk meratakan tapak berkenaan.
Ketika anak-anak buahnya sedang bekerja, Badrul hanya duduk memerhati di bawah pokok sambil menghisap rokok.
Secara tiba-tiba, Badrul dikejutkan dengan bunyi pelik, seolah-olah pokok itu digoncang dengan kuat.
Ketika Badrul mendongakkan kepalanya ke atas, dia melihat seekor beruk bermata merah sedang memerhatikannya.
Beruk yang bersaiz besar itu tiba-tiba terjun dan menerkam Badrul, menyebabkan dia rebah ke atas tanah dan terus pengsan.
Selepas sedar, Badrul terketar-ketar menceritakan pengalamannya itu kepada pekerja-pekerjanya.
Namun kata pekerjanya, mereka tidak nampak kehadiran beruk, sebaliknya hanya melihat Badrul menggelupur sendirian sebelum pengsan.
Disebabkan kejadian itu, Badrul jatuh sakit dan tidak keluar rumah hampir enam bulan.
Dia akhirnya mula pulih selepas dibawa berubat dengan lebih 10 perawat di seluruh Malaysia.
Menurut salah seorang perawat, Badrul diganggu oleh penunggu yang menjelma sebagai beruk kerana tindakannya yang cuba meratakan tapak rumah lama itu.
Sehingga hari ini, tapak rumah berkenaan masih gagal diratakan walaupun ada beberapa kontraktor lain diberi projek itu.