JAWA TIMUR: Seorang lelaki warga emas berdepan kematian tragis di tangan anak sendiri apabila kepalanya dipenggal hingga putus oleh anaknya sendiri di hadapan penduduk kampung dalam satu kejadian bunuh di Jember, Jawa Timur pada Isnin.
Memetik Sinar Harian, insiden itu berlaku berhampiran rumah mereka di Dusun Jadukan, Jember, Jawa Timur yang turut menggemparkan warga Desa Mojosari, Kecamatan Puger.
Pelaku dikenali sebagai Akbar, 19, membunuh bapa kandungnya, Haji Jenuri, 61, yang merupakan pemilik kedai bangunan di kampung tersebut.
“Lebih sadis, tubuhnya berada di pinggir jalan dekat tiang bendera manakala kepalanya ditemui di rumah tetangga sejauh 200 meter dari lokasi kejadian,” kata jurucakap pihak berkuasa.
Pembunuhan mengerikan yang memaparkan pelaku memenggal leher mangsa hingga putus menggunakan parang itu disaksikan penduduk.
Saksi yang terkejut hanya mampu menjerit meminta tolong.
Selepas membunuh bapanya, suspek cuba menamatkan riwayatnya, namun hanya cedera dan kini dirawat di hospital.
“Kami akan mengambil keterangan daripadanya dan polis masih menyiasat motif pembunuhan terhadap bapa kandungnya itu. Siasatan awal mendapati suspek mungkin mengalami depresi kerana dia sering naik angin sejak akhir-akhir ini.
“Mangsa sempat memanggil ‘orang pintar’ untuk mengubati anaknya, namun berakhir tragedi,” kata Koptu Herman Jatmiko.
Difahamkan, jasad korban juga sudah dibawa di RSD dr Soebandi Jember untuk proses autopsi. – Agensi