Advertisement

Penting Untuk Lahirkan Lebih Ramai Cendekiawan Islam Imbangi Tuntutan Duniawi Dan Ukhrawi – Ruslan – Sabah News

MEMBAKUT: “Dalam konteks hari ini, adalah penting untuk melahirkan lebih ramai cendekiawan Islam atau ‘ulul albab’ yang mampu mengimbangi tuntutan duniawi dan ukhrawi,” kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ruslan Muharam.

Beliau berkata demikan dalam ucapannya pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Membakut 1446H/2025M di sini, semalam.

Jelasnya lagi, sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Khaldun, ilmu dan penghayatannya adalah asas untuk melahirkan manusia yang berakhlak mulia dan berdaya saing.

Dalam pada itu katanya, majlis ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi juga sebuah usaha memperkukuh tradisi keilmuan Al-Quran.

“Al-Quran bukan sahaja sumber spiritual, tetapi juga panduan intelektual yang mencakupi pelbagai bidang ilmu, termasuk sains dan teknologi. Ayat pertama Al-Quran yang diturunkan, “Iqra” (Bacalah), jelas menekankan kepentingan ilmu sebagai asas kecemerlangan umat Islam.

“Majlis ini juga bertujuan mencari bakat-bakat baru dalam kalangan qari dan qariah yang berkebolehan dalam pembacaan Al-Quran secara bertajwid, bertaranum, berfasohah, dan bersuara merdu.

“Harapan saya, bakat-bakat ini akan membawa nama daerah Membakut ke peringkat negeri, kebangsaan, malah antarabangsa,” katanya.

Ruslan pada masa sama turut menyeru orang ramai khususnya jemaah untuk terus memperkukuh ukhuwah Islamiah.

“Hindarilah perpecahan dan perselisihan yang hanya melemahkan umat, sebaliknya, semaikan kasih sayang, keharmonian, dan permuafakatan demi kesejahteraan bersama.

“Kejayaan majlis ini juga membuktikan bahawa keamanan dan kemakmuran yang kita nikmati hari ini adalah hasil daripada kepimpinan berwawasan yang mendukung agama Islam sebagai agama rasmi negara.

“Marilah kita bersama-sama memelihara nikmat ini dan terus berusaha menjadi masyarakat yang lebih baik, beriman, dan bertakwa,” katanya.