Advertisement

Sabah Raikan Ketibaan Pelancong Sempena Sambutan Tahun Baru Cina Di KKIA – Sabah News

Persembahan Tarian Singa ketika menyambut pelancong yang tiba di KKIA hari ini.

KOTA KINABALU: Dalam usaha mempromosikan Kempen Tahun
Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), Tourism Malaysia menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bagi menyambut
kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa.

Sewaktu sambutan berlangsung, Tourism Malaysia bersama-sama tetamu kehormat telah menyampaikan buah limau dan cenderamata kepada para pelancong di pintu ketibaan domestik dan antarabangsa.

Acara kemuncak sambutan diteruskan dengan upacara menggaul Yee Sang iaitu hidangan tradisi Cina yang menjadi simbolik kepada kemewahan, kekayaan, kebahagiaan dan kemakmuran.

Para pelancong turut menyaksikan persembahan tarian tradisional Malaysia serta tarian singa yang sinonim dengan sambutan Tahun Baharu Cina.

Hadir sama ialah Cik Haryanty Abu Bakar, Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Haji Jefry Ramli, Pengurus Kanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Encik Bobby Alex @ William, Pengurus Pemasaran Sabah Tourism Board, wakil-wakil syarikat-syarikat penerbangan dan agensi-agensi berkaitan.

Selain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, tiga lagi sambutan meraikan para pelancong turut diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang; Lapangan Terbang
Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah; dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak.

Dalam pada itu, Toursim Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pada tahun 2024, Malaysia telah mencatatkan ketibaan seramai 38 juta pelawat dengan peningkatan sebanyak 31.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.

“Pendapatan pelancongan yang diraih pada 2024 pula melonjak kepada RM102.2 bilion iaitu meningkat sebanyak 50 peratus berbanding RM74.3 bilion yang direkodkan pada 2023 sekali gus melepasi paras prapandemik sebanyak 25.3 peratus.

“China merupakan salah satu penyumbang pasaran terbesar untuk ketibaan pelawat antarabangsa ke Malaysia.

“Dengan pengecualian visa selama 30 hari di bawah Pelan Liberalisasi Visa bermula Disember 2023, ketibaan dari China menyaksikan lonjakan hampir 3,000 peratus dengan merekodkan seramai 4.1 juta pelawat,” katanya di sini, hari ini.