PENAMPANG: Seorang wanita berusia 45 tahun dilaporkan maut selepas dirempuh oleh sebuah kenderaan dari arah belakang ketika sedang melakukan aktiviti joging berhampiran ITCC Mall di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kes kemalangan jalan raya tersebut pada jam lebih kurang 6.20 pagi.
“IPD Penampang terima maklumat mengenai kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motokar dengan seorang pejalan kaki yang sedang berjoging di kilometer 7.2 berhampiran ITCC Mall menghala ke Pekan Donggongon.
“Siasatan awal pihak polis di lokasi kejadian mendapati pejalan kaki tersebut telah dirempuh oleh sebuah motokar dari arah belakang dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan bertugas dari Hospital Queen Elizabeth 1 akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
“Manakala pemandu motokar seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun tidak mengalami kecederaan dan ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Sammy berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Pihak polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan dan berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Insp. Saparia Ladoni di talian 019-8095133.
“Pihak polis ingin menasihatkan orang awam untuk sentiasa berhati-hati ketika memandu dan melintas jalan raya serta tidak menularkan sebarang imej atau klip video tempat kejadian di mana-mana rangkaian media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” jelasnya.