Advertisement

25 Ribu Pengunjung Hadir Dengan Pakaian Tradisi Masing-Masing, Terbuka Raih Sambutan Tahun Baharu Cina Di SICC – Sabah News

KOTA KINABALU: Kira-kira 25,000 pengunjung yang terdiri dari pelbagai kaum dan etnik serta mengenakan pakaian tradisi masing-masing hadir sama memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Kerajaan negeri Sabah di sini, pagi tadi.

Majlis yang berlangsung meriah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman dan isteri Toh Puan Faridah Tussin.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag serta Pengerusi Penganjur yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew serta barisan Kabinet negeri Sabah.

Sejurus ketibaan Tun Musa dan isteri kira-kira jam 11.30 pagi, pengunjung dihiburkan dengan persembahan tarian singa sebelum jamuan makan dimulakan dengan acara Yee Sang.

Selesai acara Yee Sang, Tun Musa turut menyampaikan sumbangan kepada warga emas yang hadir sebelum pelbagai acara pentas diteruskan.

Datuk Josie Lai, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Josie Lai berkata, mewakili penganjur, pihaknya berbesar hati dengan kehadiran pengunjung yang cukup memberangsangkan.

“SICC pada pagi ini mula menerima pengunjung seawal jam 8 pagi, mereka telah menunggu selama lebih dua jam sebelum majlis bermula dan pihak penganjur sangat gembira dengan sambutan ini dan juga penerimaan dari orang awam.

“Kerajaan negeri juga telah menjemput sebanyak 15 buah hotel terkemuka (5 star) dari sekitar Kota Kinabalu untuk menyediakan makanan kepada orang ramai di sini,” katanya.

Beliau berkata, majlis itu turut menjemput kira-kira 30 kumpulan etnik dan kaum serta pihaknya turut gembira apabila ramai pengunjung turut mengenakan pakaian bertemakan etnik masing-masing.