KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah menunjukkan trend peningkatan dengan jumlah hampir mencecah 4,000 orang setakat petang hari ini.
Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan setakat jam 4 petang tadi jumlah mangsa banjir telah mencecah 3,929 orang.
“Peningkatan mangsa tersebut melibatkan empat daerah termasuk Telupid, Lahad Datu, Beluran dan Pitas. Manakala lima daerah lain menunjukkan jumlah mangsa banjir kekal termasuk Beaufort, Tongod, Sandakan, Kota Belud dan Paitan.
“Selain itu, satu-satunya daerah yang menunjukkan jumlah penurunan mangsa adalah Kota Marudu,” katanya.
Kesemua mangsa banjir di 10 daerah ini telah pun dipindahkan ke 29 Pusat Pemindahan seluruh Sabah yang turut melibatkan 1,365 Ketua Isi Rumah (KIR).
Setakat petang tadi juga, antara daerah yang paling ramai mangsa terjejas banjir adalah Kota Marudu (2,355 mangsa) diikuti daerah Pitas (379 mangsa); Lahad Datu (316 mangsa); Telupid (243 mangsa); Beluran (177 mangsa); Kota Belud (162 mangsa); Sandakan (118 mangsa); Beaufort (102 mangsa).
Seterusnya, daerah Tongod dengan jumlah mangsa 54 dan Paitan (23 mangsa).