BINTULU: Empat mangsa banjir berdepan detik cemas ketika dihanyutkan arus deras apabila bot dinaiki mereka terbalik dan karam dalam kejadian di Taman Bukit Orang, kelmarin.
Kejadian tersebut sempat dirakam dan video berdurasi 11 saat yang menunjukkan mangsa saling berpaut ketika dihanyutkan arus deras itu turut tular di media sosial.
Bagaimanapun, kesemua mangsa berusia 40-an itu akhirnya sempat diselamatkan sepasukan anggota bomba selepas menerima video tular terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju, Irwin Abidin berkata, operasi dijalankan berdasarkan video memaparkan sebuah bot karam di Taman Bukit Orang.
“Pasukan kita menerima panggilan pada jam 1.58 tengah hari di mana kejadian itu melibatkan empat pekerja asing yang bekerja di Bintulu.
“Kesemua mangsa telah hanyut selepas bot dinaiki mereka terbalik akibat arus yang deras ketika banjir,” katanya memetik Sinar Harian.
Katanya lagi, sepasukan anggota dikejar ke lokasi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
“Anggota penyelamat yang ketika itu sedang bertugas SAR mangsa banjir di kawasan berhampiran segera bertindak ke lokasi tersebut.
“Seramai empat anggota bertindak pantas menyelamatkan mangsa yang hanyut di lokasi tersebut sebelum keadaan bertambah buruk,” katanya.
Irwin berkata, kesemua mangsa yang berjaya diselamatkan telah dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) untuk rawatan dan bantuan lanjut.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak memaklumkan jumlah mangsa banjir di Sarawak ketika ini meningkat kepada 5,561 orang dan sebanyak 47 PPS telah dibuka di seluruh negeri tersebut.